KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat memberikan kira-kira 600,000 hektar tanah yang tidak akan ditanam semula dengan kelapa sawit kepada mana-mana pihak yang berminat termasuk Kerajaan Persekutuan.

Perkara tersebut akan dibincangkan dalam pertemuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg pada hari ini (Isnin).

Datuk Salahuddin Ayub ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, dia akan berbincang dengan Ketua Menteri mengenai perkara tersebut dalam pertemuan di Wisma Bapa Malaysia petang ini.

“Esok (hari ini) di Sarawak ada pertemuan dengan Ketua Menteri dan kerajaan negeri berhasrat memberi tanah yang cukup luas hampir 600,000 hektar yang tidak akan ditanam semula dengan sawit.

“Sebahagiannya (tanah itu) saya akan berbincang dengan Sarawak kenapa tidak ditanam dengan jagung bijian yang dapat membantu kita (negara) mengeluarkan setidak-tidaknya 20 peratus makanan ternakan dengan sumbernya dari jagung bijian kita sendiri,” katanya menerusi laporan akhbar nasional.

Salahuddin berkata, kementeriannya yakin dapat mengurangkan kebergantungan pada produk import dengan membangunkan semua tanah dan ladang terbiar di negara ini.

“Hampir enam dekad sejak merdeka kita tidak mampu lagi hasilkan produk yang cukup terutama dalam agromakanan dalam negara.

“Saya yakin Malaysia boleh mengurangkan kebergantungan produk import, tetapi ia mengambil masa dan mesti bermula hari ini.

“Kita akan terus untuk men-jadikan tanah dan ladang terbiar untuk difikirkan bagaimana boleh diisi dengan tanaman ‘cash crop’ sebagai jalan keluar (kepada kebergantungan produk import),” katanya.