Penerima cek pampasan mengabadikan kenangan beramai-ramai bersama tetamu kehormat.

TANJUNG MANIS: “Bagai mimpi jadi kenyataan. Kami tidak pernah terfikir suatu hari nanti kawasan ini akan mempunyai jalan raya,” Demikian luahan penduduk Mupong apabila kawasan terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Semop itu akan mempunyai jalan raya untuk ke Sibu dan Tanjung Manis.

Projek jalan raya sepanjang 5.1 kilometer yang bernilai kira-kira RM21 juta itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Kemudahan berkenaan dijangka mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi penduduk terutama sektor pertanian di sepanjang laluannya.

Sehubungan itu, Tuai Rumah Mboh Bol, berkata, mereka masih bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air untuk ke bandar berhampiran dan menjalankan urusan harian.

Projek jalan itu katanya, akan memudahkan mereka membawa keluar hasil pertanian ke Bintangor, Sibu, Sarikei dan daerah sekitarnya.

“Kami juga boleh berhubung dengan daerah lain, sekali gus membolehkan hasil pertanian dipasarkan dengan lebih cepat berbanding ketika ini yang terpaksa menggunakan sungai.

“Untuk ke bandar kami menggunakan bot ekspres dengan tambang RM18 setiap seorang manakala, bagi yang mempunyai bot sendiri pula terpaksa membelanjakan lebih RM60 untuk membeli petrol,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Senayah Kiruh, 50, menyifatkan usaha itu sesuatu yang ditunggu-tunggu mereka selama ini.
Ketiadaan jalan raya katanya, menyukarkan mereka yang terpaksa bergantung dengan pengangkutan sungai.

“Bagi saya, projek tersebut merupakan hadiah paling bermakna untuk seluruh penduduk Mupong. Justeru, saya amat berterima kasih kepada wakil rakyat kami yang tidak pernah jemu berusaha menyediakan kemudanan itu,” katanya.

Tuai Rumah Siah Amut, 50, berkata,kemudahan itu jelas membuktikan kerajaan Sarawak tidak mengenepikan nasib rakyat dalam semua aspek.

“Memang kami sangat mengharapkan kemudahan ini kerana banyak memberi kelebihan dan kebaikan kepada semua pihak terutama penduduk kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop, Abdullah Saidol berkata, pembinaan kemudahan tersebut membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan asas untuk rakyat khususnya mereka di kawasan luar bandar.

Jalan raya itu katanya, amat penting kerana akan memudahkan penduduk setempat untuk ke Sibu dan Tanjung Manis.

“Walaupun tidak mempunyai kemudahan asas, penduduk Mupong tetap setia bersama kerajaan dengan memberi kemenangan besar kepada kita dalam pilihan raya lepas. Sokongan yang tidak berbelah bahagi itu menyuntik semangat saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Mupong dan Semareng.

“Berkat kesetiaan dan kesabaran, kita akhirnya berhasil membawa satu projek (pembinaan jalan raya) yang akan membawa makna besar kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan jalan raya di Mupong membolehkan lebih banyak projek pembangunan dapat disalurkan ke kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan penduduk Mupong agar jangan menjual tanah mereka kerana kawasan ini sangat subur. Kita akan cuba untuk membangunkannya dengan pelbagai projek terutama sekali pertanian,” ujarnya.

Majlis penyerahan 73 cek pampasan yang berjumlah RM251,262.80 kepada seramai 41 orang pemilik tanah yang terlibat dalam projek pembinaan jalan raya Mupong Sibu Tanjung Manis disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh yang mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang, Pegawai Daerah Meradong, Baijuri Bidin dan Pegawai Penilai Jabatan Tanah Survei Sarikei, Diana Farhana Abu Bakar.