MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah terkejut ketika melawat ladang ikan milik Totara Aquaculture Sdn. Bhd di Luak di sini.

“Inilah kali pertama saya melihat ladang ikan di kawasan bandar… ia amat mengejutkan.

“Saya juga telah melawat beberapa ladang buah-buahan dan sayur-sayuran di sini,” katanya.

Ladang tersebut adalah milik Totara Aquaculture Sdn. Bhd yang terletak di Luak.

Ia dibina sejak dua tahun lalu dan menempatkan 111 tangki konkrit yang mempunyai keluasan dua hektar.

Menurut Pengarah Urusan ladang tersebut, Ling Chiong Sieng selain talapia, dia juga menternak ikan spesies tempatan seperti patin, sultan, keli dan jade perch yang berasal dari Australia.

“Pengeluaran bulanan kami adalah sekitar enam tan sebulan. Ia turut dijual ke Bintulu,” katanya.

Beliau turut merancang untuk mewujudkan pengeluaran filet ikan.

Dalam perkembangan yang sama, Uggah turut berkesempatan mencuba masakan talapia ketika makan tengah hari.

Jelas beliau ikan-ikan yang dihidangkan setanding ikan dari tasik empangan hidro Batang Ai.

“Tidak ada rasa lumpur dan saya yakin ladang seumpama ini mempunyai potensi besar untuk diuasahakan,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha Ling harus dicontohi dan menjadi model terbaik untuk mereka yang meminati bidang ini.

“Ladang ini juga akan menjadi tempat yang ideal untuk lawatan belajar kepada mereka yang meminati dunia akuakultur,” katanya.