KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan loji perintis bagi penghasilan hidrogen dan stesen pengisian hidrogen di sini, pada jam 10.00 pagi hari ini.

Loji perintis bagi penghasilan hidrogen dan stesen pengisian hidrogen dibangunkan oleh Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) terletak di Estet Perindustrian Bintawa dan kira-kira 2.5 km dari Menara Sarawak Energy, Isthmus.

Pembangunan loji perintis pengeluar hidrogen berkenaan akan menjadikan Sarawak negeri pertama di rantau Asia Tenggara membangunkan loji pengeluaran hidrogen dan stesen pengisian bahan api itu.

Justeru baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata, Sarawak Energy merupakan antara organisasi diamanahkan menerokai potensi sel hidrogen sebagai sumber tenaga alternatif di Sarawak.

“Sarawak Energy sedang menerajui agenda tenaga hijau Sarawak selaras dengan visi ketua menteri untuk membangunkan ekonomi hijau berasaskan rantaian nilai hidrogen,” jelas Sharbini.

Terdahulu, majlis pecah tanah projek perintis tersebut telah diadakan pada 29 Julai 2018 yang dilancarkan oleh ketua menteri bersama Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom dan Pengerusi SEB Datuk Amar Hamed Sepawi.

Johari dalam ucapannya berkata, dengan adanya loji tersebut Sarawak bakal menjadi pengeluar utama hidrogen ke pasaran dunia terutama jika dapat menghasilkannya di negeri ini selain mengubah landskap industri menjadi pengeksport gas bersih.