KUCHING: Kerajaan Sarawak positif terhadap cadangan penambahbaikan yang dijangka dibentangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam persidangan Parlimen sesi Julai nanti.

Ini membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2019, RUU Baja, Kualiti Benih Tanaman dan Biosekuriti Tumbuhan serta isu penggunaan benih nanas variety MD2.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayubi, ia setelah semua perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Katanya bagi RUU Perikanan (Pindaan) 2019, ia amat memerlukan sokongan kerajaan Sarawak untuk diluluskan bagi membolehkan industri perikanan Malaysia pergi ke laut lepas iaitu vessel-vesel perikanan boleh pergi ke Lautan Pasifik atau Lautan Hindi.

“Ini akan merancakkan lagi industri perikanan dalam negara kerana banyak permintaan daripada pemain-pemain besar industri supaya kita memperkukuh serta memperkasakan perikanan sekali gus dapat mencapai objektif mengurangkan kebergantungan kepada import ikan.

Abang Johari dan Salahuddin bersalam mesra semasa pertemuan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

“Untuk itu, kita perlu merealisasikan pindaan RUU ini dan Ketua Menteri (Abang Johari) sangat positif di mana beliau hanya memerlukan satu surat keizinan kebersamaan daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media sejurus selesai pertemuan hampir sejam dengan Abang Johari.

Manakala menjelaskan RUU Baja, Kualiti Benih Tanaman dan Biosekuriti Tumbuhan, Salahuddin berkata akta ini diperlukan untuk mengawal mutu baja, benih tanaman dan segala tanaman di Malaysia.

Katanya akta ini juga membolehkan kerajaan mengambil tanggungjawab, kepastian dan tindakan ke atas mereka yang mengambil kesempatan dalam perkara berkaitan baja serta benih tanaman.

“Sebagai contoh, walaupun baja subsidi atau dibeli dari syarikat-syarikat baja ternama antarabangsa mahu pun tempatan, namun tidak ada satu pun akta yang boleh mengenalpasti baja tersebut berkualiti atau tidak.

“Oleh sebab itu untuk memastikan industri pertanian kita lebih maju, penentuan kualiti baja yang sesuai dan benih yang dibekalkan harus dibuat supaya tidak ada lagi pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini,” katanya.

Beliau menambah dari segi biosekuriti, rakyat mendapat bahan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan sama ada yang diimport atau dieksport.

Bagi isu penggunaan benih nanas variety MD2 pula, Salahuddin berkata ia memerlukan kawalan kerana industri nanas MD2 semakin berkembang di Malaysia dan mendapat permintaan tinggi.

Justeru, katanya kawalan diperlukan bagi mengelak wujudnya nanas MD2 tiruan kerana ia boleh menjatuhkan eksport nanas MD2 Malaysia ke luar negara.

“Ini perlu kita kawal kerana pasaran MD2 di China, Eropah dan Timur Tengah sangat tinggi.

“Sarawak juga terlibat dalam penanaman MD2, jadi adalah amat penting untuk semua pihak berganding bahu dalam menjaga MD2 ini supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan.

“Kalau ini berlaku, mungkin kita tidak akan dapat mengeksport lagi MD2 pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail.