KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan 2,000 ekar tanah di Lingga, Sri Aman untuk diusahakan bersama kerajaan persekutuan.

Ini dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayubi selepas pertemuan dengan Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri. Ini adalah satu usaha yang kita mahu untuk menjadikan Sarawak dan negara dapat mengeksport beberapa tanaman pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail sejurus selesai pertemuan dan perbincangan hampir sejam dengan Abang Johari.

Menurut Salahuddin, tanah itu dijangka dibangunkan dengan tanaman kontan.

Abang Johari dan Salahuddin semasa pertemuan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Bagaimanapun, katanya satu jawatankuasa khas perlu ditibuhkan terlebih dahulu untuk membincang dan menyelaraskan perkara-perkara yang perlu dalam membangunkan tanah tersebut.

“Jawatankuasa ini akan memutuskan jenis tanaman mengikut kesesuai tanah termasuk dari segi pembahagian hasil dan sebagainya,” katanya.

Salahuddin berkata sekiranya projek fasa satu itu berjaya, Abang Johari juga bersedia menambah lagi tanah.

Sebelum ini, Salahuddin dilaporkan media nasional mengatakan bahawa kerajaan Sarawak berhasrat menawarkan kira-kira 600,000 hektar tanah yang tidak akan ditanam semula dengan kelapa sawit kepada mana-mana pihak yang berminat termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau kemudian menafikan laporan itu, sambil menjelaskan bahawa laporan itu tidak betul.

Malah Abang Johari turut menolak dakwaan itu dengan menyifatkan ia tidak masuk akal.