Foto: Ramidi Subari

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diharap terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada usahawan pada masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, usaha itu termasuk pengurusan sistematik selain kemudahan lengkap untuk usahawan meneruskan aktiviti perniagaan.

“Kemudahan lengkap ini penting untuk setiap usahawan dan peniaga agar mempunyai tempat sendiri untuk memasarkan produk mereka.

“Jadi ini akan membuka peluang kepada usahawan dan petani seluruh Sarawak berniaga serta memasarkan produk mereka,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Medan Niaga Satok dan pengagihan 500 bubur pedas.

Salahuddin turut menggesa Fama supaya menjadikan Medan Niaga Satok sebagai batu loncatan kepada peniaga untuk terus menjana pendapatan ekonomi.

Beliau turut menyatakan sokongan dan akan memberikan bantuan kepada Fama dalam memastikan setiap usahawan kecil di negeri ini mempunyai tempat untuk berniaga.

Medan Niaga Satok mula beroperasi pada 1 Januari 2013 melibatkan kos pembinaan asas berjumlah RM46 juta, iaitu dibina di atas tapak seluas 12.25 ekar.

Medan Niaga Satok menyediakan 1,100 lot peniaga bagi semua komponen utama yang merangkumi Blok Kekal, Pasar Minggu, Pasar Borong dan Medan Selera Benteng Satok.

Sepanjang tahun 2018, Medan Niaga Satok mencatat nilai jualan berjumlah RM55,884,817.80.