KUCHING: Kerajaan Sarawak positif terhadap cadangan penambahbaikan yang dijangka dibentangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam persidangan Parlimen sesi Julai nanti.

Ini membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2019, RUU Baja, Kualiti Benih Tanaman dan Biosekuriti Tumbuhan serta isu penggunaan benih nanas varieti MD2.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, semua perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

Katanya bagi RUU Perikanan (Pindaan) 2019, ia amat memerlukan sokongan Kerajaan Sarawak untuk diluluskan bagi membolehkan industri perikanan Malaysia pergi ke laut lepas iaitu vesel-vesel perikanan boleh pergi sejauh Lautan Pasifik atau Lautan Hindi.

“Ini akan merancakkan lagi industri perikanan laut dalam negara kerana banyak permintaan daripada pemain-pemain besar industri supaya kita memperkukuh serta memperkasa perikanan, sekali gus dapat mencapai objektif mengurangkan kebergantungan kepada import ikan.

“Kita perlu merealisasikan pindaan RUU ini dan Ketua Menteri sangat positif selain hanya memer-lukan satu surat keizinan kebersamaan daripada Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media sejurus selesai pertemuan hampir sejam dengan Abang Johari.

Mengenai RUU Baja, Kualiti Benih Tanaman dan Biosekuriti Tumbuhan, Salahuddin berkata, akta ini diperlukan untuk mengawal mutu baja, benih tanaman dan segala tanaman di Malaysia.

Katanya akta ini juga membolehkan kerajaan mengambil tanggungjawab, kepastian dan tindakan ke atas mereka yang mengambil kesempatan dalam perkara berkaitan baja serta benih tanaman.

“Sebagai contoh, baik baja subsidi mahupun dibeli dari syarikat-syarikat baja ternama antarabangsa dan tempatan, namun tidak ada satu pun akta yang boleh mengenal pasti baja tersebut berkualiti atau tidak.

“Oleh sebab itu, untuk memastikan industri pertanian kita lebih maju, penentuan kualiti baja yang sesuai dan benih yang dibekalkan harus dibuat supaya tidak ada lagi pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini,” katanya.

Beliau menambah, dari segi biosekuriti, rakyat mendapat bahan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan sama ada yang diimport atau dieksport.

Bagi isu penggunaan benih nanas varieti MD2 pula, Salahuddin berkata, ia memerlukan kawalan kerana industri nanas MD2 semakin berkembang di Malaysia dan mendapat permintaan tinggi.

Justeru itu katanya, kawalan diperlukan bagi mengelak wujudnya nanas MD2 tiruan kerana ia boleh menjatuhkan eksport nanas MD2 Malaysia ke luar negara.

“Ini perlu kita kawal kerana pasaran MD2 di China, Eropah dan Timur Tengah sangat tinggi.

“Sarawak juga terlibat dalam penanaman MD2, jadi adalah amat penting untuk semua pihak berganding bahu dalam menjaga MD2 ini supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan.

“Kalau ini berlaku, mungkin kita tidak akan dapat mengeksport lagi MD2 pada masa akan datang,” katanya.