KOTA SAMARAHAN: Jika tidak menjual kuih-muih, dapur kami tidak berasap kata Ajibah Yusof, 42.

Ibu kepada tujuh anak dari Kampung Tanjong Bundong di sini mengharapkan ada sinar baharu bagi dirinya bersama-sama keluarga menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Suami saya tidak bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan setelah dimasukkan besi di bahagian paha dan bahu akibat kemalangan sebelum ini.

“Maka, dia tidak dapat mengangkat barang berat malah mempunyai asma terutamanya ketika sejuk,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak semalam.

Ajibah menambah, beliau sekeluarga menerima Bantuan Kanak-kanak (BKK) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 untuk empat orang anaknya yang masih bersekolah, namun tidak mencukupi.

“Saya mula menerima bantuan tersebut pada tahun ini. Sebelum menerima bantuan, saya menggunakan pendapatan dengan menjual kuih-muih untuk menyekolahkan anak-anak,” jelasnya.

Katanya, akibat kesempitan hidup, anak bongsunya yang kini berusia setahun lima bulan diangkat orang lain.

Enam lagi anaknya ialah Mohd Aiman Alif, 19, yang kini menuntut di Giatmara Kota Samarahan, Mohd Azri Syukri, 17, Mohd Aizil Fiqry, 13, Mohd Aidid Aflin, 10, Nur Azieta Qiestyna, tujuh dan Mohd Arfiq Irfan, empat.

Tambah Ajibah, pendapatan yang diperoleh dengan menjual kuih-muih hanya dalam lingkungan RM70 hingga RM100 sehari.

“Pendapatan ini termasuk jumlah pusingan modal, jadi, tiada untung kerana perlu digunakan untuk perbelanjaan seharian.

Jika saya tidak menjual kuih-muih, dapur kami tidak berasap,” katanya.

Beliau turut memberitahu pernah memohon bantuan e-kasih daripada JKM tetapi setakat ini belum menerima sebarang perkembangan terkini.

“Saya ingin memohon e-kasih kerana kerana buat masa ini saya membuat kuih-muih menggunakan tangan. Saya ingin memohon bantuan daripada segi mesin membuat kuih-muih kerana lebih memudahkan dan pengeluaran mungkin lebih meningkat,” ujarnya.