DEBAK: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong dirayu dan digesa untuk memastikan sejarah gangguan bekalan air pada musim perayaan tidak berulang tahun ini.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, JBALB perlu komited untuk menoktahkan masalah ketiadaan bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan sekitar lebih-lebih lagi menjelang sambutan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan sekitar Debak, Pusa dan Spaoh menyebabkan penduduk kampung dan rumah panjang merungut ekoran berhadapan kesukaran dalam menyediakan keperluan untuk sambutan perayaan.

“Penyelesaian isu ini harus diberikan keutamaan oleh JBALB kerana ia menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat.

“Hal ini kerana air merupakan keperluan utama yang digunakan untuk aktiviti seharian termasuk menyediakan jamuan, membasuh dan sebagainya.

SELAMAT GAWAI … Razi bersama tuai-tuai rumah menunjukkan simbol terbaik sambil menunjukan sumbangan Gawai Dayak seusai perjumpaan di Debak, semalam.

“Justeru, JBALB dikehendaki memastikan tiada masalah bekalan air sepanjang musim perayaan ini,” katanya kepada Suara Sarawak selepas membincangkan isu tersebut bersama tuai-tuai rumah dan ketua-ketua kampung di Pejabat Daerah Kecil Debak, semalam.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap perkara berkenaan selepas akhir-akhir ini bekalan air sering terputus sehingga menyebabkan kegusaran bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi wakil rakyat.

Menurutnya, JBALB perlu mencari alternatif terbaik sekiranya berlaku gangguan yang tidak dapat dielakkan.

“Kadang-kadang sedih melihat penduduk terpaksa bersengkang mata menadah air pada tengah malam. Pada musim tersebut penggunaan bekalan air meningkat berlipat kali ganda.

“Musim perayaan yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan, sebaliknya digunakan untuk mengangkut dan mendapatkan air… saya merayu noktahkanlah perkara tersebut.

“Kalau ada gangguan, selesaikan dengan kadar segera,” ujarnya.

Razi dalam pada itu turut menyentuh isu gangguan bekalan elektrik yang tidak kurang hebatnya di kawasan Saribas.

Beliau turut mengharapkan perkara yang sama diambil perhatian oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya bekalan elektrik sentiasa ada.

Beliau dalam pada itu menyumbang untuk program Gawai Raya berjumlah RM80,000 melalui JKKK dan belia.

Sementara Kelab Rando Debak juga menerima RM15,000 hasil sumbangan Razi.