PUSA: Anggota masyarakat khususnya pemimpin akar umbi diharap dapat bersama menyumbang sekaligus mampu memanfaatkan semangat Ramadan sebagai inspirasi membangunkan ‘kampung lestari, komuniti bestari’ yang dihasratkan di Beting Maro.

Adunnya Razaili Gapor memberitahu, peranan menyusun atur sesebuah kampung menjadi tanggungjawab bersama dengan kolaborasi yang mantap antara pelbagai pihak.

“Maksudnya kalau mahu sesebuah kampung itu ke hadapan, kita jangan terlalu mengharapkan peranan JKKK semata-mata.

“Tetapi sebaliknya penglibatan aktif kita sendiri sebagai anggota masyarakat, jawatankuasa pengurusan surau, wakil rakyat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan harus berganding bahu, menggembleng tenaga bersama.

“Seiring dengan hasrat kita untuk membangunkan kampung lestari, komuniti bestari dengan konsep sebuah penempatan yang teratur dan tersusun.

SESI SANTAI … Razaili meluangkan masa bersama ketua-ketua masyarakat dan kaum serta pimpinan parti Zon Pusa di Dewan Rahmaniah, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

“Justeru, semangat Ramadan yang telah mengukuhkan tali persaudaraan antara pelbagai pihak patut dijadikan inspirasi,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua masyarakat dan kaum serta pimpinan parti Zon Pusa di Dewan Rahmaniah, semalam.

Jelasnya, usaha tersebut diharap dapat membantu merealisasikan rancangan masyarakat setempat yakni bijak merancang masa depan dan berupaya mengadaptasi keupayaan diri selari dengan kemajuan teknologi terkini.

Selain itu katanya, mengambil kira prinsip pembangunan mampan yang mampu menyeimbang dan mengintegrasikan komponen sosial, sahsiah diri, ekonomi dan alam sekitar serta masyarakat.

Razaili mengharapkan wujud kesepakatan yang utuh antara pelbagai pihak agar usaha untuk membangunkan kampung lestari, komuniti bestari berjalan lancar.

Menambah lanjut, tanaman nanas akan menjadi teras ekonomi masyarakat Kampung Pusa ekoran kesesuaiannya selain beberapa perusahaan lain yang dicadangkan termasuk ternakan.

“Kerajaan bercadang untuk membangunkan kira-kira 100 ekar tanah untuk tanaman tersebut.

“Saya masih mengharapkan semua yang terlibat nanti supaya dapat menubuhkan koperasi untuk menguruskan ladang tersebut dengan cekap dan sistematik. Jadi, kerajaan lebih mudah menyalurkan bantuan.

“Kalau boleh, sekurang-kurangnya pada akhir tahun hadapan kita sudah nampak hasilnya,” jelas Razaili.

Dalam kemuliaan dan keberkatan Ramadan ini juga, beliau mengharapkan seluruh warga Beting Maro khususnya dan Daerah Pusa amnya dapat merapatkan lagi saf sekaligus mengukuhkan perpaduan.

Razaili pada majlis yang sama berkongsi rezeki dengan menyumbang duit raya untuk mereka yang hadir.

DUIT RAYA … Razaili menyampaikan sumbangan duit raya kepada Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Hajijah Lueng pada majlis yang sama.