SARIKEI: Penantian seramai 12 orang pesakit terlantar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 Repok, di sini, untuk mendapatkan katil khas berakhir apabila menerima kemudahan itu secara percuma.

Katil boleh laras bagi keselesaan dan memudahkan penjagaan pesakit berkenaan disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, baru-baru ini.
Pemberian bantuan itu membuktikan keprihatinan Huang yang memberi fokus kepada usaha meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

Sehubungan itu, jurucakap Pusat Khidmat N.45 Repok memberitahu, setakat ini, wakil rakyat berkenaan menyumbangkan sebanyak 12 katil percuma kepada pesakit terlantar sejak April lalu.

“Penerima terdiri daripada pesakit yang terlantar dan tidak berupaya untuk bangun kerana masalah kesihatan. Sumbangan bertujuan meringankan beban pesakit selain memastikan mereka selesa dan mudah diuruskan.

“Pemberian yang dihulurkan itu sedikit sebanyak menceriakan penerima sekaligus berupaya membuatkan mereka lupa seketika penyakit yang dihadapi,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, pesakit terlantar memerlukan perhatian khusus. Justeru mereka perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Tanpa penjagaan yang betul mereka boleh terdedah dengan pelbagai penyakit lain.

Tambah jurucakap itu, selain menyampaikan sumbangan katil, wakil rakyat itu juga sering menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.