DEBAK: Reka bentuk dan konsep masjid baharu Kampung Serembang dan Medang disaran mengambil kira kehendak masyarakat kampung.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, kedua-dua masjid tersebut dicadangkan di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Setiap satunya dianggarkan menelan kos RM1.5 juta.

“Saya menyarankan agar pihak JKR Bahagian Betong selaku agensi pelaksana dapat menyediakan reka bentuk dan konsep masjid baharu Kampung Serembang dan Medang itu nanti mengikut kehendak penduduk.

“Justeru, bolehlah dibincangkan bersama Ketua Kampung dan ahli jawatankuasa pengurusan masjid yang terlibat,” katanya.

SESI PERBINCANGAN … Razi melihat cadangan reka bentuk dan konsep masjid baharu Kampung Serembang dan Medang pada sesi bersama pihak JKR di Pejabat Daerah Kecil Debak, semalam.

Beliau bercakap demikian selepas sesi taklimat pembangunan masjid bersama pihak JKR di Pejabat Daerah Kecil Debak, semalam.

Dalam pada itu, beliau mahu projek tersebut kelak dilaksanakan pada tahun yang sama ia diluluskan agar tidak tertangguh.

Razi berhasrat mewujudkan tempat beribadah yang selesa dan cantik untuk orang ramai beribadah.

“Tiada yang lebih berharga daripada nikmat keamanan serta keharmonian yang dikecapi rakyat di negeri ini termasuk soal ibadah.

“Kalau kita lihat ada sesetengah tempat, negaranya kucar-kacir akibat peperangan, bencana sehingga semua urusan harian terganggu.

“Tapi kita di Malaysia amnya dan Sarawak khasnya, amat beruntung kerana berpeluang menjalani ibadah dalam keadaan yang begitu selesa.

“Justeru, syukurilah nikmat ini kerana kita ditadbir oleh kerajaan yang baik yang sekaligus dapat memastikan keamanan terus dijaga dan dipelihara,” ujarnya.

Beliau mahu institusi masjid dan surau di Saribas terus menjadi ejen penyatuan masyarakat pelbagai peringkat.