BINTULU: Penduduk rumah panjang, Daniel Muking, Nanga Annau, Tatau kesal dengan tindakan syarikat perladangan, Hormat Pasifik yang  menceroboh Tanah Adat Bumiputera (NCR) mereka yang diwarisi dari nenek moyang sejak ratusan tahun yang lalu.

Tuai rumah Daniel Muking berkata laporan polis tentang pencerobohan telah pun dibuat di Balai Polis Daerah Tatau untuk tindakan.

Katanya, kawasan yang sedang diusahakan oleh sebuah syarikat swasta itu  adalah termasuk dalam kawasan NCR rumah panjang berkenaan.

“Oleh itu kami merayu supaya segala kerja-kerja menanam kelapa sawit atau membersihkan kawasan berkenaan dengan apa juga tujuan diberhentikan dengan serta merta termasuk jentera hendaklah dibawa keluar,” katanya Suara Sarawak.

Selain laporan polis, katanya, beliau dan anembiaknya juga memanjangkan perkara tersebut ke Pejabat Daerah Tatau termasuk wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Namun, sehingga kini, tiada tindakan yang diambil, ujarnya sambil menegaskan sebagai orang asal mereka berhak menuntut kawasan tersebut sebagai tanah warisan dari nenek moyang mereka turun temurun berdasarkan bukti-bukti sejarah peninggalan nenek moyang kami yang pernah menetap di kawasan tersebut masih wujud sehingga kini.

Tuai rumah Daniel Muking

Daniel turut menceritakan latarbelakang pencerobohan tanah NCR milik mereka di pelopori oleh sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, syarikat terbabit mula menceroboh tanah NCR mereka penghujung Januari tahun ini.

Malah, katanya, pihak syarikat turut  memaklumkan kononnya tanah NCR dibeli daripada  beberapa individu tanpa mendedahkan individu terlibat.

“Apabila saya bertanyakan perkara ini kepada anembiak, tiada seorang pun mengaku melakukannya.

Justeru, satu laporan polis dibuat pada 1 Februari tahun ini. Paling menyedihkan apabila melihat tanaman getah yang diusahakan sejak 2011 ditumbangkan oleh pihak syarikat berkenaan tanpa sebarang pampasan,ujar Daniel lagi.

Saya berharap dalam perbicaraan 18 Jun di Mahkamah Adat Bumiputera, Pejabat Daerah Tatau antara penduduk dan syarikat terlibat berpihak kepada mereka, katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Tiong King Sing berjanji akan merujuk perkara tersebut kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas perayaan Gawai Dayak bagi mencari jalan penyelesaian.

Pada masa yang sama, beliau mahu agensi kerajaan berkaitan turun padang serta peka terhadap isu yang timbul.

Beliau, dalam pada itu, turut mengecam tindakan pencerobohan oleh syarikat perladangan terbabit yang disifatkan sebagai angkuh dan tidak berperikemanusiaan.

Malah, Tiong turut menggesa syarikat perladangan itu menghentikan segala aktiviti di tanah NCR milik penduduk rumah panjang berkenaan.