KUCHING: Sekitar 500 penduduk setempat menghadiri program Malam Pra-Gawai 2019 di Rumah Asap Tabuan Dayak baru-baru ini.

Program berkenaan dianjurkan Kelab Rekreasi Emmanuel Samarahan (KSRES).

Presiden Kelab Gidien Dayos berkata, program tahunan seperti itu dirancang kelab bagi menghangatkan lagi sambutan Hari Gawai Dayak bakal tiba.

“Program kali ini memilih Rumah Asap Tabuan Dayak sebagai lokasi utama bagi meraikan penduduk di kawasan sekitar di samping pelbagai acara menarik diadakan,” katanya dalam satu sidang media.

Antara pertandingan diadakan ialah pertandingan karaoke 15TKb, Pertandingan Keling 15TKB, Pertandingan Kumang 15TKB serta cabutan bertuah.

Terdapat 12 peserta daripada pelbagai latar belakang dan telah menyertai pelbagai kategori dalam pertandingan.

Selain itu, Adun Batu Lintang See Chee How turut dijemput hadir sebagai tetamu terhormat bagi merasmikan program serta menyempurnakan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang.

Chee How sempat meluangkan masa bersama-sama penduduk setempat di samping bertanya khabar dan mengucapkan Selamat Hari Gawai.

“Semoga program seperti ini akan terus diadakan bagi menonjolkan bakat serta mengeratkan persaudaraan semua kaum,” katanya lagi.