KUCHING: Isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menggesa semua badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak agar tampil aktif membantu pesakit yang memerlukan bantuan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, beliau menaruh harapan yang tinggi agar ngo-ngo ini bersama-sama dengan SABATI (Badan Amal Tenaga Isteri Sarawak) dalam membantu pesakit yang memerlukan bantuan, terutamanya mereka yang berada di luar bandar.

“Kita mahu bantuan yang sama juga diberikan kepada hospital-hospital di Miri, Sibu, Mukah, Bintulu dan Sri Aman.

“Kita akan berikan bantuan ini secara berperingkat dan kita akan teruskan program ini untuk tahun- tahun akan datang,” ujarnya.

Juma’ani diiringi ahli-ahli  SABATI meluang masa semalam untuk melawat pesakit-pesakit di Wad Pediatrik termasuklah pesakit di Wad Kanser Pediatrik.

Beliau turut menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai berupa duit raya, kepada 30 pesakit kanak-kanak yang dirawat di wad kanser terbabit, selain 170 pesakit kanak-kanak lain.

Pada majlis yang sama, Juma’ani turut menyampaikan sumbangan mesin rawatan dan perabot kepada Wad Kanser Pediatrik iaitu 15 unit kerusi kimoterapi yang akan ditempatkan di ‘Chemotheraphy Day Care Centre’, lima unit kerusi di ruang menunggu, Oxygen Concentrator, dan mesin Nebulizer.

Turut hadir Setiausaha Kehormat SABATI, Datin Dr. Zaliha Christine Abdullah dan ahli- ahli SABATI.