LUBOK ANTU: Sejumlah RM200,000 hasil sumbangan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang bagi membantu pembinaan Rumah Minggat Mujan Skrang yang didiami 32 keluarga.

Sumbangan diberikan sempena majlis pra-Gawai Rumah Minggat Jampi, Mujan Skrang pada 27 Mei 2019.

Turut mendapat sumbangan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) dan Biro Wanita masing-masing mendapat RM10,000 dan RM5,000.

Jugah berkata, peranan dan kerjasama pemimpin Kerajaan Persekutuan bersama-sama ketua masyarakat sebagai penghubung penduduk dengan kerajaan agar pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Ketua masyarakat menjadi mata dan telinga kerajaan serta menghebahkan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada masyarakat kampung hingga ke peringkat akar umbi.

“Menjadi tanggungjawab ketua masyarakat memastikan isu dan kebajikan rakyat dipelihara termasuk membantu kerajaan mengekalkan perpaduan sedia ada,” katanya.

Jelasnya, pemimpin masyarakat perlu seiring dengan pelaksanaan dasar kerajaan serta memahami situasi semasa untuk memastikan setiap perancangan kerajaan mendapat kerjasama semua pihak.

Tambah beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berusaha memberi akses terbaik bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat melalui apa sahaja cara usaha.

“Kita mahu segala projek pembangunan disalurkan oleh kerajaan memberi impak pe-ningkatan taraf hidup kepada rakyat secara inklusif dan menyeluruh,” jelasnya.

Sementara itu, Jugah menambah bahawa perayaan hari Gawai Dayak bukan sahaja satu perayaan sebaliknya medium untuk mengukuh hubungan komuniti dalam kalangan kaum Dayak dengan kaum-kaum lain di negeri ini.

“Perayaan ini merupakan salah satu platform bagi mengukuhkan toleransi masyarakat Dayak.

“Melalui majlis ini masyarakat sesama Dayak berkumpul tanpa mengira latar belakang profesion, taraf pendidikan atau ideologi politik.

“Kesempatan ini boleh kita gunakan untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran bagi mendengar denyut nadi rakyat,” ujarnya