KUCHING: Lebih 100 kumpulan muzik dari serata dunia akan mengambil bahagian dalam Rainforest Fringe Festival, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Borneo Jazz Festival yang dijadualkan dari 5 Julai sehingga 21 Julai.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam satu kenyataan berkata acara yang amat dinanti-nantikan itu menawarkan suasana hebat yang disulami dengan ciri-ciri kebudayaan, menjanjikan pengalaman paling menarik buat pengunjung, terutama dari kalangan rakyat Malaysia.

“Ia bermula dengan Festival Muzik Pinggir Hutan Hujan (Rainforest Fringe Festival) dari 5 sehingga 12 Julai. Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai, satu pendedahan terbaik bagi mereka yang baru kenal dengan acara ini, di samping memberi gambaran mengenai apa yang akan tampil seterusnya,” katanya.

Festival kemudiannya disusuli dengan RWMF di Kampung Budaya Sarawak dari 12 sehingga 14 Julai, dan Festival Jazz Borneo dari 19 sehingga 21 Julai di Coco Cabana, Miri.

“Kami Warga Sarawak amat berbangga dengan kekayaan budaya, alam semulajadi dan warisan kami, yang tidak boleh ditemui di mana-mana tempat lain di dunia. Setiap aspek dalam setiap festival ini disusun bagi membolehkan penonton menikmati pengalaman unik, di samping meninggalkan kesan yang tidak boleh dilupakan pada bila-bila masa,” katanya.

Bagi mendapatkan tiket dan lain-lain maklumat berhubung pakej festival, orang ramai yang berminat boleh melayari laman web https://sarawaktourism.com/sarawak-festival-packages-2019