BINTULU: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang semasa ke laut untuk memancing sejak Khamis lalui ditemui meninggal dunia di Pantai Mukah, awal pagi tadi.

Lee Ah Leng,37, dari Kampung Penipah, Mukah ditemui meninggal dunia oleh sekumpulan penduduk kampung pada jam 8.15 pagi ini, kira- kira 0.4 batu nautika dari pantai Mukah.

Ketika ditemui, keadaan mangsa dalam keadaan tertangkup dan masih lengkap berpakaian.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen

Abdullah dalam kenyataannya berkata, mangsa dipercayai lemas akibat terjatuh dari bot miliknya ketika sedang dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan di laut.

Beliau berkata mangsa dipercayai tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian berlaku sambil memberitahu mayat mangsa dirujuk ke Hospital Mukah untuk tindakan susulan.

Menurut beliau lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah di aturgerakkan sejak tengahari Khamis oleh MRSC Kuching sebaik menerima aduan melalui panggilan MERS 999 oleh rakan mangsa, Roslan Ahmad yang turut berada di laut ketika kejadian.

Shahref berkata, Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkoordinasikan operasi SAR di laut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam operasi SAR pada kali ini antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan penduduk setempat dalam usaha pencarian dua hari itu.

Dengan penemuan ini operasi SAR telah ditamatkan pada jam 9.20 pagi.

Shahref dalam pada itu, berkata Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu berharap komuniti maritim terutamanya di bahagian Mukah supaya mengutamakan keselamatan semasa berada dilaut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Beliau turut menasihati komuniti maritime supaya lebih berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini di samping tidak turun ke laut sekiranya cuaca buruk.

Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu, katanya lagi. sentiasa mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kemalangan atau insiden dilaut. Maklumat boleh disalurkan terus ke pusat operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314237.

Maklumat juga boleh disalurkan melalui laman facebook: Zon Maritim Bintulu & TWITTER : Zon Maritim_Bintulu@ZBintulu.