KUCHING: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Khirudin Drahman @Husaini menasihatkan orang ramai agar jangan sesekali Lupa, Leka dan Lalai (3L) sepanjang menyambut Hari Gawai dan Hari Raya yang bakal tiba pada tahun ini.

“3L ini jika salah satu amalan ini kita tidak cegah ia boleh mengundang padah dan masalah, kalau menyesal kemudian memang sudah terlambat.

“Dalam pada itu, saya juga ingin mengingatkan terutama komuniti yang meraikan Gawai dan Raya agar mempertingkatkan langkah pengawasan, pencegahan dan perlindungan untuk diri, keluarga dan harta benda,” tegasnya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Jelas beliau perkara tersebut penting bagi mengelakkan pencerobohan atau pecah rumah berlaku, selain perkara melibatkan penggunaan barangan elektrik harus tidak melebihi tahap yang dihadkan, ini adalah sebagai peringatan buat semua ujarnya.

Tambahnya tahun lalu sahaja pada Hari Gawai dan Raya (15 Jun) yang lalu dari 1 Jun sehingga 30 Jun , pihaknya telah menerima 180 panggilan kebakaran, melibatkan 3 kecederaan, 17 terselamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Manakala setakat hari ini dari Januari tahun ini daripada lima buah rumah panjang hanya dua dapat diselamatkan hasil dari tindakan awal penduduk kampung memadam kebakaran berkenaan.

“Bagi mengelakkan tragedi ini berlaku, telah dikenalpasti ia berpunca dan bermula dari kawasan dapur kerana pengunaan peralatan elektirik yang berlebihan dan tidak dikawal, kerana elemen 3L tersebut,” ujarnya.