MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan menyambut ulang tahun ke-60 pada 4 Jun ini,
kata Pengerusi SUPP cawangan Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Jelasnya, sempena sambutan ulang tahun itu majlis pengibaran bendera turut diadakan bermula
7 pagi.

“Kami menggesa semua ahli SUPP untuk berkumpul pada tarikh yang baik ini untuk merayakan ulang tahun ke-60 ini.

‘‘Pengibaran bendera akan diadakan bertempat di cawangan SUPP Piasau, “ katanya kepada sidang media, di sini kelmarin.

Menurutnya ulang tahun ke-60 itu turut disambut oleh seluruh cawangan SUPP di Sarawak. Sebastian berkata, SUPP adalah parti politik tertua yang diasaskan pada tahun 1959 untuk memperjuangkan rakyat serta kepentingan Sarawak.

Menurutnya SUPP adalah parti politik berbilang kaum sejak penubuhannya dengan logo yang
turut mewakili tiga kaum utama di Sarawak. Katanya sejak penubuhan, parti itu telah berjuang demi kepentingan rakyat di negeri ini.

“Sebagai ahli generasi yang baru, ahli harus meneruskan matlamat dan objektif utama parti ini.

Nenek-moyang kita telah berjuang keras untuk mendapatkan kemerdekaan Sarawak, mening-katkan ekonomi Sarawak serta kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Ting turut menyeru ahli parti supaya memberi sokongan penuh kepada Presiden SUPP, Datuk Prof Dr Sim Kui Hian untuk meneruskan legasi terbabit.

“Tanpa mandat penuh, kita tidak akan maju sebagai satu pasukan dan mencapai matlamat. Kita juga
mahu sentiasa mengingatkan ahli tentang perkara yang kita telah perjuangkan untuk keamanan dan
keadilan, keluarga serta pemimpin agar anak muda akan meneruskan legasi ini, “ katanya.