KANOWIT: Dua kakitangan awam di sini ditahan kerana terlibat penyalahgunaan dadah dalam Operasi Ops Sarang yang dilancarkan pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kanowit ASP Mohd Faisal Nawi berkata, kedua-dua suspek antara lapan ditahan berasingan dalam serbuan berkenaan.

“Dua kakitangan awam itu ditahan dalam satu serbuan di luar bangunan di Bukit Memaloh sekitar jam 10 malam,” katanya di sini semalam.

Katanya, pemeriksaan di badan suspek berumur 33 tahun menemui satu beg kecil pada tangan kanan suspek.

“Beg tersebut mengandungi dua plastik lut sinar ketulan kristal jernih dipercayai dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 1.01 gram,” katanya.

Jelasnya ketika hendak menangkap suspek, pasukan Task Force IPD Kanowit yang diketuai Inspektor Shahrul Nizam terpaksa menggunakan kekerasan minimum untuk memberkas suspek yang cuba melawan.

“Seorang lagi rakan suspek yang berusia 34 tahun dipercayai penagih dadah diarah menjalani saringan air kencing.

“Polis yang menjalankan operasi sama di sekitar kawasan tumpuan yang dikenal pasti sebagai kawasan penyalahgunaan dadah berjaya memberkas lapan individu berumur antara 23 hingga 42 tahun,” katanya lagi.

Menurutnya, suspek yang ditangkap itu bergiat aktif di kawasan tersebut serta mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah.

Katanya, pihaknya merampas pelbagai alatan digunakan untuk menghisap dadah jenis syabu serta ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu, berat kasar sebanyak 0.5 gram.

“Operasi kami berakhir pada jam 3.30 pagi dan semua suspek dibawa ke lokap IPD Kanowit untuk tindakan lanjut.

“Hasil tangkapan, tiga suspek disyaki memilik dadah, manakala lima individu lagi akan diarah menjalani ujian air kencing,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak