BINTANGOR: Kegigihan seorang ibu tunggal yang menghantar tempahan biskut popia dengan menggunakan beca mendapat perhatian netizen sebaik sahaja fotonya dimuat turun oleh portal Bintangor Bandar Limau, semalam.

Kattey Julaihi, 36, ketika dihubungi berkata, dia memilih beca kerana kenderaan beroda tiga itu mampu memuatkan tempahan yang banyak selain jimat dan mudah dikendalikan.

Bagaimana pun katanya, ia hanya digunakan untuk menghantar tempahan pelanggan di sekitar kampung sahaja manakala yang di luar Bintangor pula menggunakan kereta atau motosikal kerana lebih cepat.

“Saya mengusahakan popia sejak empat tahun lalu. Namun hanya untuk musim perayaan saja. Tahun ini saya terpaksa hadkan kepada 30 kilogram (kg) sahaja kerana tidak cukup tangan untuk memenuhi permintaan yang banyak.

Kattey menunjukkan isyarat bagus ketika menghantar popia yang ditempah oleh pelanggannya di Kampung Abang Amin Bintangor. – Foto Bintangor Bandar Limau.

“Setakat ini saya menerima tempahan penduduk kampung yang menjadi pelanggan tetap setiap tahun. Ada juga pelanggan dari kawasan berhampiran seperti Nanga Stras dan Sarikei,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Kattey berkata, basikal roda tiga itu adalah milik bapanya dan masih digunakan untuk membawa penumpang setiap hari.

“Malam hari pula, beca ini tidak digunakan jadi saya memanfaatkannya untuk menghantar popia kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Kattey, tempahan pelanggan terhadap popianya meningkat berkali ganda setiap kali tiba hari raya.
Malah katanya, dia terpaksa mengorbankan masa bagi memastikan tempahan yang diterima sejak awal Ramadan lalu sampai ke tangan pelanggan sebelum ketibaan 1 Syawal.

“Sebab itu saya terpaksa menolak banyak tempahan disebabkan tidak berkemampuan untuk membuatnya. Bagaimana pun, saya membuka semula tempahan kepada orang ramai selepas Aidilfitri nanti.
“Sehubungan itu, orang ramai boleh menghubungi saya melalui talian 019-8054410,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak