Jika saya benarkannya, paloi juak saya!

Foto: Ramidi Subari

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan kenyataan bahawa Kerajaan Sarawak menawarkan tanah seluas 600,000 hektar kepada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pertanian.

Beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai laporan berita sebuah akhbar nasional kelmarin yang memetik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bahawa negeri ini menawarkan tanah yang tidak ditanam semula dengan kelapa sawit kepada mana-mana pihak yang berminat termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Saya terkejut membaca berita itu,” katanya kepada wartawan pada sidang media selepas melancarkan stesen loji pengeluaran dan isi semula bahan api hidrogen serta kenderaan berkuasa hidrogen pertama di sini, semalam.

Katanya, nilai bagi 600,000 hektar tanah hampir sejuta ekar.

“Sudah tentu Kerajaan Sarawak tidak akan bersetuju dengan permintaan sedemikian. Ia tidak masuk akal dan jika saya membenarkannya, ‘paloi juak saya’ ,” tegasnya.

Abang Johari kemudian berkata, beliau tidak tahu dari mana Salahuddin mendapat angka itu.

“Dengan hormat, terdapat begitu banyak maklumat palsu daripada mereka (Kerajaan Persekutuan),” jelasnya.

Kelmarin, sebuah portal milik akhbar nasional menerbitkan berita bahawa Salahuddin akan mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari untuk membincangkan lebih lanjut mengenai tanah tersebut.

Salahuddin berkata, kementeriannya yakin dapat mengurangkan kebergantungan pada produk import dengan membangunkan semua tanah dan ladang terbiar di negara ini.

Ini termasuk menjadikan tanah dan ladang terbiar diisi dengan tanaman ‘cash crop’ sebagai jalan keluar kepada kebergantungan produk import.

Salahuddin telah mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia jam 2.30 petang semalam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak