SARIKEI: Tiga agensi melancarkan operasi keselamatan makanan di tapak bazar Ramadan bahagian Sarikei bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan kebersihan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr Emmanuel Joseph Fong berkata, operasi yang berkuatkuasa 8 hingga 10 Mei itu melibatkan pemeriksaan ke atas 180 gerai makanan di kawasan terbabit.
Menurutnya, anggota penguatkuasa yang terlibat ialah Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Majlis Daerah Sarikei (MDS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Antara lain objektif operasi ini ialah menguatkuasakan Peraturan Peraturan Kebersihan Makanan 2009, meningkatkan kesedaran pengendali makanan tentang pentingnya penjagaan diri dan tempat penyediaan makanan.
“Kita juga mahu memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai sepanjang Ramadan bersih dan selamat,”katanya dalam sidang media selepas melancarkan operasi berkenaan.

Hadir sama , Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP, Mohd Tarmizi Mohd Amin.
Beliau memberitahu, operasi memberi penekanan terhadap beberapa aspek penting iaitu pengendali makanan, suntikan vaksin bagi pengendali makanan, pakaian, perhiasan diri atau aksesori lain.
“Apa yang penting, kita mahu semua peniaga di bazar ini mengutamakan kebersihan demi keselamatan orang awam,” katanya.
Sehubungan itu, Joseph Fong menasihatkan orang ramai supaya memilih makanan yang sihat untuk berbuka demi menjamin kesihatan diri dan keluarga.
Dalam pada itu, Mohd Tarmizi mengesa peniaga supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menaikkan harga jualan makanan dengan sesuka hati.

