Kerajaan Sarawak terus bantu sekolah Cina

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan meneruskan bantuan kewangan kepada sekolah Cina di negeri ini.

Ini sekali gus meneruskan polisi yang dipelopori allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ketika mula memegang jawatan Ketua Menteri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pengiktirafan UEC adalah untuk membantu anak Sarawak yang mendapat pendidikan di sekolah Cina.

“Kita akan teruskan mengiktiraf UEC, tidak seperti mereka di seberang sana (kerajaan persekutuan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran 2019 Kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina di Sekolah Menengah Chung Hua No.1 di sini, hari ini.

Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang memberi pengiktirafan kepada kelayakan peperiksaan persendirian Cina yang setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) itu.

Ia bagi membolehkan rakyat Sarawak yang memiliki sijil itu menyertai perkhidmatan awam negeri dan memohon pinjaman pendidikan daripada Yayasan Sarawak.

Manakala bagi bantuan kewangan, Abang Johari berkata tahun ini, kerajaan Sarawak memberikan sejumlah RM11 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM8 juta diberikan untuk 14 buah sekolah menengah Cina di Sarawak.

Ia juga menyaksikan tambahan sebanyak RM1 juta daripada RM7 juta yang diberikan tahun lepas.

Manakala RM3 juta lagi untuk dana menempatkan semula SJK Chung Hua Bako ke Taman Berlian, Kota Samarahan yang memerlukan kos RM6 juta.

“Kami merasakan pendidikan sangat penting dan oleh sebab itu turut membantu sekolah Cina demi masa depan generasi baharu Sarawak,” katanya.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting dan pengerusi  Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Persendirian Cina Sarawak Datuk Vincent Lau Lee Ming.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak