KUCHING: Seramai 60 golongan kurang berkemampuan dari 10 kampung menerima sumbangan daripada Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Kitang, hari ini.
Mereka daripada Kampung Paya Mebi, Kampung Haji Baki, Taman Desa Permai RPR Landeh, Kampung Tematu, Kampung Dangak, Kampung Lidah Tanah, Kampung Bunga Rampai, Kampung Bumbok, Kampung Batu Kitang Lama dan Kampung Batu Kitang Jaya.
Sumbangan berupa makanan dan wang tunai itu diberikan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai yang menjelang tiba.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang selaku pengerusi SABERKAS Batu Kitang Lo Khere Chiang dan timbalan pengerusi SABERKAS Batu Kitang Datuk Ahmad Ibrahim pada Majlis Sumbangan Kasih Sayang Ramadan 2019 anjuran SABERKAS Batu Kitang di Kota Padawan, dekat sini.
Hadir sama pengerusi penganjur program Shamsudin Unai.

Melalui program amal SABERKAS Batu Kitang ini, ia secara tidak langsung membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan agar dapat merasai dan menikmati nikmat Hari Raya dan Hari Gawai.
Sempena majlis, Lo dan Ahmad turut berkesempatan mengagihkan sebanyak 500 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai.
Turut diadakan perasmian Bazar Ramadan Kota Padawan di mana Lo dan Ahmad mengagihkan apron serta topi kepada para peniaga bagi memastikan mereka mengutamakan kebersihan dalam menyediakan makanan untuk berbuka puasa.


