KUCHING: Menjelang hari-hari terakhir Ramadan, Adun Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman menganjurkan program Gunting Rambut Raya secara percuma.

Menurutnya, program tersebut dilaksanakan bermula hari ini dan esok berdasarkan konsep “siapa cepat dia dapat”.

“Hanya 40 pelanggan pertama di tujuh kedai mendapat perkhidmatan menggunting rambut secara percuma.

“Maka, keseluruhannya, seramai 280 orang mendapat manfaat daripada program ini di kawasan Tupong,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Kata Fazzruddin, antara objektif utama program seumpama ini adalah untuk mempromosikan perniagaan gunting rambut dalam kalangan belia di Sarawak.

PERCUMA … Iklan dalam meda sosial Instagram Adun Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman mengenai program menggunting rambut secara percuma.

“Belia yang bekerja dan mengusahakan perniagaan ini terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kursus menggunting rambut apabila mempunyai potensi untuk ke tahap yang lebih tinggi.

“Dengan promosi sebegini, justeru, mereka dapat didedahkan kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas,” jelasnya.

Malah, katanya, kegembiraan masyarakat yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri kian terasa apabila menggunting rambut menjelang hari-hari terakhir Ramadan.

“Aktiviti menggunting rambut menjelang hari-hari terakhir Ramadan amat sinonim dengan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak saya dari kecil lagi,” ujarnya.

Tujuh kedai menggunting rambut yang dipilih oleh Adun Tupong itu ialah Empayarbarber, Sarang Gunting Rambut Ismadi, Kedai Gunting Rambut Adiyana, Kedai Gunting Rambut Paradigma, Kedai Gunting Rambut Pak Nol, Adam Barbercut dan Malla Barber.