KOTA SAMARAHAN: Empat cedera termasuk seorang wanita selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di jalan By Pass Kota Samarahan-Serian di sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Pegawai Bomba Kanan Dua (PBKII) Ahmad Shah berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 3.30 petang membabitkan pertembungan kereta jenis Perodua Rusa dan Axia.

“Perodua Rusa dinaiki tiga mangsa lelaki berusia 17 tahun hingga 50-an manakala Perodua Axia dipandu oleh seorang wanita, 20-an.

“Difahamkan kereta Perodua Rusa yang datang dari arah Kuching menghala ke Serian bertembung dengan Perodua Axia dari arah bertentangan di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Ahmad, dua penumpang Perodua Rusa iaitu lelaki berusia 40 hingga 50-an terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Dua lagi mangsa termasuk seorang wanita yang turut cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan menggunakan Ambulan dan Unit EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.43 petang,” ujarnya.

Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.

 

KEMALANGAN … Kelihatan anggota bomba menyelamatkan mangsa kemalangan di By Pass Kota Samarahan-Serian di Kota Samarahan hari ini.