KUCHING: Biro Sosial dan Kebajikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Paya Mebi memberikan sumbangan kepada 60 warga emas termasuk golongan kurang berkemampuan, kurang upaya dan miskin, di sini semalam.

Sumbangan diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang dalam majlis Penyampaian Bantuan Kasih Sayang Ramadan di Masjid Al Muhajirin, Kampung Paya Mebi di sini.

Menurut pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi Shamsudin Unai, bantuan yang diberikan adalah berupa wang tunai serta makanan seperti beras, gula, tepung, susu, Milo, teh, biskut, kordial dan lain-lain.

“Tujuan utama program ini adalah untuk memupuk sifat bermuafakat dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak,” katanya ketika ditemu bual pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Lo turut meluangkan masa berbuka puasa bersama dengan para penerima sumbangan serta penduduk Kampung Paya Mebi.

Program seumpama ini merupakan aktiviti tahunan dianjurkan Biro Sosial dan Kebajikan PBB Paya Mebi sejak 10 tahun lepas, khususnya sempena bulan Ramadan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan.

SUMBANGAN … Kelihatan Lo Khere Chiang menyerahkan sumbangan kepada penerima warga emas pada Bantuan Kasih Sayang Ramadan di Masjid Al Muhajirin, Kampung Paya Mebi di sini, semalam sambil disaksikan Shamsudin (tiga kanan) dan tetamu kehormat lain.