DARO: Operasi pertama Balai Bomba Daro pada Sabtu lalu, mengakhiri penantian penduduk daerah ini yang memerlukan perkhidmatan pasukan penyelamat itu sejak sekian lama.

Penduduk yang ditemui meluahkan rasa gembira dan menyifatkan kewujudan balai baharu itu sebagai hadiah paling berharga daripada Kerajaan Sarawak.

Penghulu kawasan Daro, Yusuf Bakeri berkata, kemudahan dibina oleh kerajaan itu memberi manfaat besar kepada penduduk Daro termasuk mereka yang tinggal di daerah yang berhampiran.

Katanya, pihak bomba boleh tiba di lokasi dengan lebih pantas kerana sebelum ini penduduk bergantung harapan kepada Balai Mukah dan Tanjung Manis yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Daro.

“Bagi tanah besar Daro sahaja, lebih 15,000 penduduk memerlukan kemudahan ini. Jumlah itu tidak termasuk daerah Matu dan kawasan sekitarnya. Balai bomba amat diperlukan kerana banyak aktiviti pembangunan berlaku di sini, sejak akhir-akhir ini.

“Sudah pasti saya cukup teruja kerana kami menunggu kemudahan ini sejak dahulu lagi. Hari ini, impian itu menjadi kenyataan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Sehubungan itu, Yusuf berharap usaha sampingan termasuk menaiktarafkan kemudahan sistem komunikasi dapat dilakukan segera sejajar dengan pembangunan pesat di daerah Daro hari ini.

Berkongsi kegembiraan yang sama, Fiktri Hashim, 45, dari Kampung Baru. Menurutnya, selain kebakaran, kes kecemasan lain seperti kemalangan juga dapat dikendalikan dengan lebih cepat.

“Pada masa sama kita tidak boleh lupa sumbangan besar pasukan Bomba Sukarela Daro. Sebelum ini, mereka yang banyak membantu usaha menyelamat penduduk termasuk ketika banjir mahupun kebakaran hutan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad, berkata balai bomba yang dibina dengan kos sebanyak RM6.8 juta itu mempunyai kekuatan 10 anggota tetap dan 15 anggota bantuan.

Katanya, balai berkenaan juga dilengkapi satu unit jentera pemadam api, dua unit kenderaan pelbagai guna dan sebuah bot penyelamat.

“Balai Bomba Penyelamat (BBP) Daro yang dikategorikan dalam Kelas D, mampu turut membantu memperkasakan lagi peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“BBP terdekat terletak di Mukah dan Tanjung Manis, iaitu lebih sejam perjalanan dari Daro, selain pasukan bersama jentera terpaksa menyeberangi Sungai Batang Lassa serta Sungai Igan menggunakan feri,” jelasnya.