SONG: Lima lelaki nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter dekat sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Song, Fedrick Aok berkata seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan pada kaki manakala yang lain berusia antara 37 dan 48 tahun tidak cedera dan berjaya mengeluarkan diri daripada kenderaan itu.

Katanya bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada 8.05 pagi dan satu pasukan diketuai Pegawai Bomba Jacky Ukau dengan kekuatan enam anggota digerakkan ke lokasi untuk mengeluarkan lelaki cedera dari gaung.

“Kemalangan dipercayai berlaku disebabkan permukaan jalan balak itu licin akibat hujan. Kesemua mangsa dalam perjalanan dari rumah panjang mereka di Nanga Lajan ke pekan Song yang jaraknya hanya enam kilometer menggunakan jalan balak,” katanya.

— BERNAMA