SARIKEI: Pembinaan jalan baharu sepanjang tujuh kilometer (km) bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan Kerubong dan Selalang dalam tempoh jangka panjang.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, laluan itu merupakan laluan alternatif bagi penduduk kawasan pesisir Kabong, Sessang, Nyabor, Gerigat untuk ke Sarikei dan Sibu selain Pan Borneo.

Selain menyingkatkan masa perjalanan katanya, jalan raya itu juga memberi faedah kepada kira-kira 13 buah rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Jalan raya ini akan memudahkan kita untuk menyalurkan kemudahan asas seperti air dan elektrik kepada penduduknya.

“Pembinaan jalan ini memerlukan perbelanjaan sekurang- kurangnya RM50juta,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya di Dewan Masyarakat Kampung Kerubong hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap meneruskan agenda pembangunannya demi manfaat segenap lapisan rakyat.

Tuai Rumah Usin Banta menerima sumbangan Gawai daripada isteri Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dewi Husaini sambil diperhatikan Yusuf Abd Wahab (tengah).

Usaha itu katanya, bukan hanya terhad pada musim pilihan raya sahaja sebaliknya bila-bila masa.

“Harus disedari bahawa, usaha murni kerajaan ini tidak berpaksi pada politik semata-semata sebaliknya menjurus ke arah kepentingan rakyat. Hasrat utama kita mahu membela rakyat agar mereka berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkata,
suntikan kewangan kerajaan untuk menambahbaik infrastruktur di pulau yang terletak di seberang Sarikei mampu mengilap potensi besar kawasan itu dalam bidang pertanian.

“Antaranya termasuklah pembinaan ban, kemudahan feri dan pelbagai prasarana lain. Jika ini disediakan, saya yakin kawasan ini mampu mengeluarkan lebih banyak hasil pertanian malah mungkin dapat dieksport ke luar negara, ” jelasnya.

Kawasan yang dihuni kaum Cina (Bukit Huang) 68 rumah, Iban (Muara Payang) 128 pintu dan Melayu-Bugis (Parit Bugis) sembilan buah rumah, dulunya hampir 100 buah rumah dan mempunyai sejarah sebagai pengeluar nanas Sarikei yang terkenal di seluruh negara.

Pulau itu juga mempunyai Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang dan 11 buah rumah panjang manakala lima daripadanya terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang dan DUN N.42 Semop.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.