SERIAN: Dua lelaki warga Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup keluar 68 tong gas memasak melalui Pelabuhan Darat Tebedu, dekat sini semalam.

Kedua-duanya yang berusia 31 dan 34 tahun dicekup pasukan Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (RRD) sekitar jam 7.45 pagi ketika cuba menyeludup barang kawalan itu ke wilayah mereka.

Ketua Kompeni C 10 RRD, Kapten Jorani Dawum berkata tangkapan dibuat hasil rondaan Operasi Awas, apabila lima anggotanya terserempak dengan tiga van di lokasi yang terletak 600 meter dari sempadan Malaysia dan Indonesia.

“Ketika itu, beberapa individu sedang memindahkan tong-tong gas ke dalam ketiga-tiga van tersebut.

“Namun apabila menyedari kehadiran anggota kami, dua daripada van terbabit dipandu laju masuk ke arah Indonesia.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak sempat melarikan diri dan mereka ditahan bersama sebuah van yang penuh dengan tong gas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jorani berkata pemeriksaan mendapati suspek membawa tong gas bersubsidi tanpa sebarang dokumen kebenaran atau lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bagaimanapun, katanya dua warga Indonesia itu yang merupakan pemandu dan kelindan van mempunyai dokumen dan pengenalan diri yang sah.

Katanya kedua-dua suspek bersama van Toyota Hiace dan 68 tong gas itu diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

Laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Tebedu, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM37,000.