KUCHING: Memiliki rumah sendiri merupakan impian setiap orang dan menjadi keperluan utama bagi yang sudah berkeluarga.

Namun, untuk memiliki rumah sendiri atau pertama tidak semudah yang dijangka kerana pelbagai syarat serta kekangan harus dilalui terlebih dahulu.

Amirul Farid, 25, berkata, amat sukar membeli rumah terutama di kawasan bandar.

Menurut Amirul, majoriti pemaju perumahan menetapkan syarat seperti 30 tahun ke atas bagi golongan bujang sebagai syarat layak membeli rumah.

Tambah Amirul, individu berusia 30 tahun ke bawah mesti berkahwin bagi memudahkan
proses pinjaman perumahan untuk diluluskan pihak bank.

“Syarat sebegini menyusahkan orang bujang terutama yang berusia 30 tahun ke bawah kerana tersangkut apabila melalui peringkat pinjaman bank.

“Pemaju perumahan seharusnya melonggarkan atau menghapuskan syarat usia bagi memudahkan golongan muda terutamanya yang bujang membeli rumah,” katanya.

Amirul menjelaskan, urusan pinjaman bank seharusnya lebih mudah, tetapi disebabkan syarat peminjam mesti berusia 30 tahun dan berkahwin, maka ia menjadi semakin rumit.

Bagi Abang Amirrudin Abang Junaidi, 25, harga rumah kawasan bandar terlalu tinggi dan di luar kemampuan anak muda yang baru bekerja.

Menurutnya, harga pasaran terlalu tinggi menyebabkan golongan muda hanya mampu memandang sahaja

Tambahnya, anak muda yang baru tamat belajar masih mempunyai pinjaman kewangan pelajaran yang perlu dilangsaikan dan komitmen lain.

“Pemaju seharusnya meletakkan harga rumah mengikut kemampuan dan pendapatan golongan muda.

“Kerajaan juga boleh memperkenalkan subsidi rumah pertama khas untuk anak-anak muda bagi memudahkan mereka memi-liki rumah pertama,” ujarnya.

Sementara itu Mohd Aikmal Haiqal, 25, berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak seharusnya memper-banyakkan lagi pembinaan rumah kos rendah di seluruh negeri.

Menurut Aikmal, kos rumah yang dijual di pasaran amat tinggi dan ia bertentangan dengan kemampuan penjawat awam dan pekerja swasta.

Tambahnya lagi, kos sara hidup semakin tinggi dan impian untuk memiliki rumah pada usia muda tidak akan tercapai jika harga rumah di pasaran terus meningkat.

“Boleh dikatakan rumah yang ada dalam pasaran sekarang hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan tinggi sahaja, berbanding mereka yang berpendapatan sederhana atau rendah,” ujarnya.
Selain itu kata Aikmal, pihak pemaju perumahan seharusnya meletakkan harga sesuai untuk jenis rumah yang dijual.

Justeru katanya, kerajaan harus memainkan peranan dengan memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Jassmine Joanne, 30, pula berkata, golongan muda mengalami kesukaran memiliki rumah sendiri kerana harga hartanah yang meningkat.

Menurutnya, rata-rata golongan muda tidak mampu untuk membayar deposit rumah apatah lagi membayar bayaran bulanan rumah.

“Apabila mereka mengumpul duit untuk membayar deposit rumah, harga rumah itu pula meningkat.

“Disebabkan itu, mereka lebih rela menyewa rumah dan melupakan seketika impian memiliki rumah sendiri,” katanya sambil memberitahu ramai golongan muda berpendapatan rendah dan mempunyai banyak komitmen.