KUCHING: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan beliau dalam sebuah video seks sejenis yang tersebar sejak semalam, dengan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

“Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu berkata sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Katanya, beliau akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terbabit dalam kerja jahat berkenaan.

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini,” katanya.