KUCHING: Seorang penagih dadah berdepan hukuman penjara dan sebat selepas didapati memiliki dadah jenis syabu seberat 5.62 gram.

Lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di sebuah rumah di Taman Palma Indah, Jalan Matang di sini pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata dadah yang dirampas dari suspek dianggarkan bernilai RM1,052.

Katanya saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis syabu dan amfetamin.

“Kes disiasat di bawah 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun, dan juga hukuman sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Merbin memohon masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan mengenai penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.

Katanya kerjasama daripada orang ramai itu sangat penting agar masalah dadah dapat dibendung.