KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa agar penyebaran video yang sedang ditularkan dan diperkatakan oleh umum dihentikan serta merta.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gaya dan cara berpolitik seperti ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat dan negara.

“PKR tegas dan konsisten menolak sebarang bentuk permainan politik kotor terutamanya apabila kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) telah dipilih oleh rakyat atas semangat agenda reformasi untuk membantu rakyat dan membangunkan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah PKR sebagai salah satu parti komponen PH akan terus fokus membantu kerajaan persekutuan merangka dasar dan program untuk rakyat.

Kenyataan itu dibuat susulan penyebaran klip video yang dikatakan mirip seorang pemimpin parti itu.