KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) komited memperjuangkan isu lot-lot gerai untuk peniaga di kawasan di bawah pentadbirannya.

Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos berkata, sebanyak 192 lot perniagaan telah disediakan pasar Bandar Riyal Samarahan.

“Sebanyak 21 lot perniagaan disewakan kepada peniaga tetapi ada segelintir peniaga ini yang kurang aktif menjalankan aktiviti perniagaan.

“Meskipun demikian, mereka tidak melepaskan tapak perniagaan tersebut kepada orang lain kerana mereka masih memiliki lesen sewaan sah serta membuat bayaran sewa seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Menurut Minos, ada segelintir peniaga tidak menjalankan operasi perniagaan sepenuh masa dengan menjalankan perniagaan pada hari tertentu dan bercuti.

“MPKS akan mengambil tindakan kepada peniaga yang tidak membayar sewa tapak dengan membatalkan lesen dan mereka dikehendaki membayar hutang yang tertunggak,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, Minos menyatakan satu pasar basah yang menyediakan sebanyak 100 gerai di Aiman Mall dan 60 gerai di Jambatan Batang Samarahan akan disewa dengan harga berpatutan kepada orang ramai.

“MPKS membina gerai-gerai ini kerana kita tidak mahu peniaga berniaga di tepi jalan kerana aktiviti berniaga ini menjadi antara penyebab kepada kesesakan lalu-lintas.

“Kita juga mementingkan keselamatan peniaga dan orang awam,” jelasnya sambil memberitahu MPKS juga mempunyai  perancangan untuk membina 80 gerai di Kampung Tambirat, Asajaya.

Menurut Minos, pembinaan gerai tersebut bertujuaan menempatkan peniaga sedia ada di sepanjang jalan utama kawasan kampung.

Selain itu, katanya, jalan utama akan ditingkatkan dan diperluaskan untuk kawasan berkenaan.