KOTA SAMARAHAN: Dua pensyarah dari universiti tempatan berjaya mendapat geran penyelidikan insentif Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) kitar 1-2018 berjumlah RM10,000 semalam.

Ahli jawatankuasa YPOMNM memilih dua pemenang geran iaitu Mohd Aizuddin Mohd Lazaldin dari UiTM Sungai Buloh dan Prof. Anselm Su Ting dari Unimas, masing-masing mendapat geran sebanyak RM5,000.

Prof. Anselm dipilih atas kejayaan penyelidikannya bertajuk Determining Instruments for Fatigue Identification in Attempts to Prevent Occupational Accidents and Injuries.

Manakala Mohd Aizuddin membawa tajuk Brain derived Neurotrophic Factor Attenuates Amyloid Beta 1-40 Induced Visual Impairment In Sprague Dawley Rats.

YPOMNM menyediakan bantuan perkhidmatan dan kewangan bagi para penyelidik yang aktif dan yang berminat menjalankan penyelidikan berkaitan otak, minda dan neurosains. Bantuan dana dan sumbangan juga turut

diberikan kepada penyelidik yang terpilih. Terdahulu, geran penyelidikan tersebut ditawarkan secara terbuka kepada penyelidik di institusi pengajian tinggi, pusat atau agensi awam atau swasta yang berminat melaksanakan penyelidikan melibatkan bidang neurosains iaitu bidang neurosains asas, neurosains klinikal, dan neurosains gunaan yang bersesuaian berpandukan kepada keadaan semasa di negara ini.

Geran ini dibuka setiap hujung tahun dan akan mula membuat pengumuman pemenang geran sekitar Mac.

Selain itu, yayasan juga mahu mewujudkan banyak kemudahan kepada para penyelidik makmal dan pusat penyelidikan klinikal dengan kelulusan undang-undang yang berkuatkuasa.

YPOMNM telah ditubuhkan pada tahun 2017 dan merupakan salah satu inisiatif pengasas iaitu Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Profesor Madya Dr. Durriyyah Sharifah Hasan Adli dalam merealisasikan impian agar rakyat Malaysia lebih mengambil perhatian mengenai bidang itu.