KUCHING: Kerana terlalu nakal dan enggan mendengar nasihat dan kawalan kedua-dua ibu bapanya, seorang gadis terpaksa ditahan di Sekolah Henry Gurney di Keningau, Sabah sehingga berumur 21 tahun semalam.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof mengarahkan gadis berusia 17 tahun itu dihantar ke sekolah pemulihan akhlak berkenaan setelah dia mengaku bersalah mencuri dibawah Sesyen 380 Kanun Keseksaan.

Gadis itu mengaku mencuri lapan helai baju dari sebuah pasar raya pada jam 4.15 petang, 10 Mei lalu di Jalan Canna, Tabuan Jaya.

Sebelum membuat keputusan Nuruhuda terlebih dahulu mendengar testimoni daripada ibu gadis berkenaan yang menggesa mahkamah menghantar anaknya ke sekolah pemulihan akhlak itu kerana mereka gagal mengawal kenakalannya yang selalu membuat onar dan memalukan keluarga.