BAU: Cubaan seorang lelaki melarikan sebuah pacuan empat roda yang baharu dicuri ke Indonesia melalui Serikin gagal apabila dia terserempak pasukan Ronda Cegah Jenayah IPD Bau, semalam.

Suspek bagaimanapun sempat melarikan diri ke dalam hutan.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Poge Nyaon, pasukan ronda IPD Bau terbabit menahan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan, di simpang Kampung Padang Pan menuju ke Serikin sekitar jam 5 pagi semalam.

“Semasa diarahkan untuk berhenti, pemandu kenderaan tersebut telah keluar dan melarikan diri ke dalam hutan,” katanya yang dihubungi, semalam.

Poge memberitahu, kenderaan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bau dan semakan mendapati ia dilaporkan hilang pada awal pagi semalam di Taman Riveria, Kota Samarahan.

Berdasarkan laporan pengadu, seorang lelaki berusia 62 tahun di Balai Polis Kota Samarahan sekitar jam 4.30 pagi, kenderaan itu adalah milik anak perempuannya.

“Saya tersedar daripada tidur apabila terdengar ada bunyi enjin kenderaan dihidupkan dan apabila menjenguk ke luar tingkap, didapati ada dua lelaki tidak dikenali melarikan kenderaan anak saya itu,” katanya.

Pengadu berkata, rakaman kamera litar tertutup rumahnya memperlihatkan empat lelaki yang tidak dikenali menunggang dua motosikal berada di kawasan rumahnya.