PUSA: Dengan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah tiga laluan perhubungan utama negeri ini, Daerah Pusa diyakini mampu berkembang pesat, membangun dan menjadi lokasi tumpuan utama selepas ini.

Lebih menarik untuk diperkatakan, tahun ini sahaja penduduk sekitar bakal menyaksikan beberapa projek besar mula dilaksanakan, kata Adun Beting Maro Razaili Gapor.

Menurutnya, Daerah Pusa menjadi pusat pertembungan lebuh raya Pan Borneo, lebuh raya pesisir dan lebuh raya ekpress.

“Dijangka lebih rancak dengan pembinaan Jambatan Batang Lupar, Saribas dan Krian. Kita difahamkan turut mula dibina tahun ini menyebabkan daerah ini berada di tengah-tengah kerancakan pembangunan perhubungan.

“Justeru, kemudahan tersebut akan membuka peluang seterusnya meningkatkan potensi Daerah Pusa amnya dan Dun Beting Maro khususnya,” katanya.

SELAMAT MENJAMU … Razaili dan Rohani sempat memberi reaksi kepada lensa kamera ketika sedang menikmati juadah raya pada Majlis Sambutan Gawai dan Raya Peringkat Dun Beting Maro yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, malam tadi. Foto. OSMAN RAZALI

Beliau bercakap demikian ketika pada Majlis Sambutan Gawai dan Raya Peringkat Dun Beting Maro yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, malam semalam.

Dalam rencana mengubah lanskap kampung dan memenuhi aspirasi penduduk, jelasnya Kerajaan GPS hari ini terus komited dengan tidak lupa apa yang sudah dijanjikan.

“Daerah Pusa sebagai pusat pentadbiran akan menerima beberapa projek besar yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk di sini.

“Saya faham keperluan terhadap sebuah dewan dan alhamdulillah, status pembinaan Dewan Masyarakat bernilai RM3.5 juta telah ditender. Insha-Allah pembinaan bermula tidak lama lagi dan memakan masa 18 bulan.

“Selain itu, sebuah arena sukan bernilai RM950,000 dan medan selera dengan kos RM1.1 juta turut dibina. Ketiga-ketiga projek berkenaan merupakan bukti keprihatinan GPS,” ujarnya.

RATU KEBAYA … Razaili menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Ratu Kebaya bersempena Majlis Sambutan Gawai dan Raya Peringkat Dun Beting Maro yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, malam tadi. Foto. OSMAN RAZALI

“Kita juga sedang membangunkan projek ekonomi di semua kampung dalam Dun Beting Maro yang keseluruhan menelan kos RM1 juta,” tambahnya.

Justeru katanya, segala yang dirancang memerlukan kerjasama dari masyarakat.

“Saya menagih penglibatan dan sokongan semua. Percayalah, segala perkara yang disusun atur kerajaan akan memberi kemudahan serta keselesaan bersama.

“Bersamalah kita mensyukuri pembangunan yang dibawa. Sesungguhnya Kerajaan Sarawak khususnya di bawah pentadbiran GPS pimpinan Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg komited untuk melonjakan kawasan luar bandar.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, Kampung Pusa bakal menjadi tempat yang akan dibangunkan dengan tanaman nanas seluas 100 ekar.

Terdahulu, Razaili menyeru warga Daerah Pusa untuk terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang dinikmati selama ini terutamanya pada bulan yang mulia ini.

Majlis Sambutan Gawai dan Raya Peringkat Dun Beting Maro dirasmikan Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan hadir sama Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd. Zain, ketua-ketua masyarakat dan kaum serta jabatan.

UNTUK ALBUM … Razaili, Rohani serta tetamu lain bergambar kenangan bersama peserta pertandingan Ratu Kebaya dan Ratu Kumang pada Majlis Sambutan Gawai dan Raya Peringkat Dun Beting Maro.