BETONG: Kerajaan digesa untuk menyediakan tiang dan lampu jalan pada tiga jalan alternatif yang semakin menjadi pilihan pengguna jalan raya pada masa ini.

Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (LAKIS) Dr. Abang Ismail Abang Julhi memberitahu, ia melibatkan jalan Betong-Spaoh (laluan Bebuling), Spaoh-Debak (laluan Suri) dan Spaoh-Pusa (laluan Mangut).

Katanya, ramai yang merungut dengan keadaan gelap-gelita lebih-lebih lagi ketika memandu pada waktu malam.

“Pada masa ini, ketiga-tiga jalan tersebut merupakan laluan perhubungan utama pengguna ekoran jaraknya yang dekat.

“Justeru, mewakili suara masyarakat sekitar, saya menggesa Kerajaan Sarawak untuk mempertimbang usaha menyediakan lampu jalan di sepanjang laluan yang dimaksudkan demi kepentingan bersama,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pix: Dr. Abang Ismail (tengah)

Jelas Abang Ismail, sekiranya perhubungan tersebut mampu dilengkapi dengan lampu jalan, maka diyakini memberi lebih keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya yang menggunakannya pada waktu malam.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan kebimbangan terhadap jalan Spaoh-Debak iaitu laluan Suri yang sangat popular dengan kawasan kerap kemalangan.

“Laluan tersebut cukup popular dalam kalangan penduduk setempat. Ada yang kata kawasan panas.

“Pihak berkaitan mungkin boleh membuat kajian atau penilaian terperinci supaya nahas yang membabitkan kehilangan nyawa atau kerugian harta benda dapat dielakkan,” ujarnya.