KUCHING: Seni doodle satu seni contengan dihasilkan pelukis ketika mereka melakar hasil seni yang bagi sesetengah orang, ia sukar difahami

Setiap lukisan mereka terdiri daripada garisan rawak dan abstrak, watak komik dan televisyen, landskap dan apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka.

Doodle atau scribble ini sering dikaitkan dengan hasil lukisan kanak-kanak yang hanya sekadar menconteng sahaja di atas kertas dan buku mereka.

Seni doodle ini membantu mengembangkan pemikiran kanak-kanak dan cara mereka mengekspresikan kreativiti mereka.

Pernah tular di laman sosial, seorang guru Semenanjung Malaysia menghiasi dinding sekolah dengan seni doodle dan mendapat pujian daripada warganet kerana bakat dan hasil seninya.

Lukisan guru tersebut mengambil masa satu bulan untuk disiapkan dan hanya menggunakan pen marker.

Gambar dinding dihiasi dengan seni doodle tersebut mendapat lebih 2,000 perkongsian dan 9,000 lebih likes ketika di muat naik pada laman Facebook.

Seni doodle ini juga popular di kalangan peminat yang suka seni menconteng.

Salah seorang pelukis doodle dari Kuching, Maria Olga berusia 25 tahun, mula berminat dengan seni contengan ini pada tahun 2015 apabila dia membeli sebuah buku mewarna di sebuah kedai buku di Kuching.

Bagi Maria, dia mendapat ilham untuk menghasilkan seni ini setelah melihat hasil seni beberapa pelukis doodle yang terkenal dari laman web. Maria membuat keputusan untuk menjadikan seni doodle sebagai satu hobi ketika masa lapang.

Pada masa lapang, dia akan duduk di sebuah kafe dan membuat lakaran contengan yang telah dirancang berdasarkan perkara yang dia minat iaitu portrait manusia, objek dan haiwan.

Seni doodle yang dilukis berinspirasikan seni Mandala, iaitu seni rekaan yang kompleks yang membentuk lingkaran. Seni Mandala ini dikatakan boleh memberi ketenangan dan terapi kepada pelukis dan mereka yang melihat seni tersebut dengan mata sendiri.

Kebiasaanya, Maria akan mengambil masa satu hari untuk menyiapkan lukisan atas kertas bersaiz A4 dan setengah hari untuk kertas bersaiz A5.

Hal ini kerana, setiap lingkaran, bentuk geometri dilukis dengan penuh teliti dan terperinci.

Untuk menghasilkan bentuk geometri atau lengkuk yang kemas dan cantik, Maria menggunakan pen yang mempunyai mata yang tajam, pembaris dan jangka lukis.

Peralatan yang digunakan memastikan setiap lingkaran, garis dan bentuk geometri tersebut nampak lebih rapi dan kemas.

Selain dijadikan sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, Maria juga menerima tempahan daripada rakan dan peminat seni doodle.

Selalunya mereka meminta untuk melakarkan portrait untuk dijadikan sebagai hadiah hari jadi atau hadiah ulang tahun perkahwinan.

Antara hasil seni yang paling bermakna buat Maria adalah lakaran peta Sarawak. Bagi Maria, lakaran peta Sarawak mendapat perhatian dan permintaan ramai kerana rekaan pada peta tersebut berinspirasikan kek lapis.

Lakaran tersebut juga dijual dengan harga RM140 kepada orang ramai dan salah satu dari koleksi lukisan Maria yang paling laku.

Maria juga pernah mengadakan bengkel seni di Indah House Kuching Café.

Bengkel tersebut diadakan untuk mengajar cara melukis seni contengan dengan berinspirasikan seni Mandala.

Walaupun penyertaan peserta ketika itu tidak ramai, objektif bengkel tersebut adalah untuk mengembangkan lagi bakat dan kemahiran peserta terutamanya bagi kanak-kanak.

Bagi Maria, seni doodle ini kurang mendapat perhatian dan minat kerana mereka merasakan seni tersebut sukar untuk dilakukan dan mereka lebih suka membeli hasil seni orang lain.

Namun begitu, masih ada juga segelintir masyarakat berminat dan mencuba melakar sendiri seni doodle mereka terutamanya dari golongan muda dan kanak- kanak.