PUSA: Apabila industri apong menjadi tumpuan!

Adun Beting Maro Razaili Gapor katanya sudah bersedia dengan rancangan lebih tersusun membantu penuak (pengusaha) sekaligus mempelbagai produk serta meningkatkan kualiti agar diterima di pasaran luar.

Menurutnya, selain dengan perancangan sedia ada, pihaknya dari masa ke masa sentiasa meneliti keperluan untuk melonjakkan industri apong.

“Misalnya, keperluan untuk menyediakan pusat pelbagai guna produk berasaskan apong. Ini rancangan baharu yang akan bertindak sebagai nadi ekonomi penduduk khususnya para penuak.

“Selain itu, mendapatkan bantuan-bantuan khas untuk para penuak.

KENANGAN RAYA … Razaili serta tetamu bergambar kenangan bersama warga sekolah dan penduduk kampung pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Tambak yang berlangsung di SK Tambak, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

“Saya difahamkan pada masa ini, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) sebagai agensi bertanggungjawab sedang menilai bentuk bantuan khas yang patut diberi dan menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sudah menyatakan persetujuan,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Tambak yang berlangsung di SK Tambak, semalam.

Jelasnya, RM2 juta yang diperuntukan oleh Kerajaan Sarawak untuk membangunkan industri apong di Kampung Tambak akan dimanfaatkan sebaiknya.

“Termasuk membina infrastruktur jalan menuju ke tapak cadangan untuk membina kilang dekat kawasan tanaman apong dan sebagainya.

“Hasrat kita untuk mewujudkan Taman Industri Apong yang pertama di Sarawak, mungkin di Malaysia mampu direalisasikan… saya bekerja keras.

HADIAH … Razaili menyampaikan saguhati kepada dua penari cilik SK Tambak.

“Sebab itu saya mengajak penduduk kampung untuk terlibat sama. Ini hak dan kepentingan warga Kampung Tambak, maka hidupkanlah melalui sistem koperasi yang sudah dibentuk dan hak semua akan terbela.

“Di pihak kerajaan, saya yakin Kerajaan GPS pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa terbuka untuk menyokong apa jua yang dirancang,” ujarnya.

Seperti mana sedia maklum, kata Razaili permintaan terhadap gula apong sepanjang Ramadan dan Syawal meningkat berlipat kali ganda sehingga harganya melambung.

“Ini membuktikan industri apong semakin menjadi tumpuan yang menyaksikan permintaan terhadap gula apong melebihi pengeluaran… ini yang kita ingin usahakan, semoga dapat meningkatkan taraf ekonomi para penuak.

“Kita harus berani menyahut seruan kerajaan kerana menjelang 2030 Sarawak bakal menjadi negeri maju dan pendapatan rakyatnya disasarkan melebihi RM4,000 sebulan. Maka, yakinlah para penuak juga mampu,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, peruntukan RM150,000 di bawah projek RTP diluluskan untuk membina bumbung gelanggang futsal di SK Tambak.

Selain sumbangan RM5,000 masing-masing kepada tabung PIBG sekolah (jubin lantai) dan JKKK Kampung Tambak (keceriaan kampung).

Hadir sama Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, Guru Besar SK Tambak Ismail @ Kamarudin Deli, Ketua Kampung Tambak Musa Gapor dan Yang Dipertua PIBG SK Tambak Hurumah Derham.

ISTIMEWA … Isteri Razaili, Aisyah Rohani Nahar menyampaikan hadiah istimewa pada majlis tersebut.