PUSA: Lebih 130 rumah dalam Dun Beting Maro dibaik pulih menerusi bantuan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) untuk fasa pertama melibatkan perbelanjaan RM500,000.

Adunnya Razaili Gapor memberitahu, PPRMS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk meneruskan kesinambungan usaha membantu rakyat miskin di Sarawak.

“Projek ini memastikan mereka yang layak, dibantu. Supaya kediaman uzur dapat dibaik pulih dengan harapan dapat memberi lebih keselesaan.

“Oleh kerana di Dun Beting Maro kita menerima banyak permohonan baik pulih rumah, jadi keutamaan diberikan untuk membaiki bumbung.

“Untuk memastikan semakin ramai yang berpeluang. Alhamdulillah untuk fasa pertama, ia berjaya memanfaat lebih 130 rumah,” katanya.

NIKMATI HIDANGAN … Razaili serta tetamu lain berbual sambil menikmati juadah pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Tambak yang berlangsung di SK Tambak, semalam. Turut kelihatan Musa (kanan). Foto. OSMAN RAZALI

Beliau bercakap demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Tambak yang berlangsung di SK Tambak, semalam.

Beliau menggesa semua kerja baik pulih agar disegerakan supaya fasa kedua dapat dipercepatkan.

“Bagi yang sudah, saya mohon dimuktamadkan kerana kita memerlukan laporan untuk permohonan baharu (fasa kedua)… tiada laporan, maka akan melambatkan proses. Jadi, saya mohon kerjasama semua,” ujarnya.

Beliau melahirkan keyakinan bantuan PPRMS memberi makna besar dalam membantu mengurangkan beban rakyat miskin.

Malah katanya sekaligus menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan golongan kurang berkemampuan dan memerlukan terus dibantu.

Pada ucapan belanjawan 2019, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyediakan RM72 juta yang mana setiap Dun menerima masing-masing RM1 juta bagi implementasi PPRMS.

Sementara itu Ketua Kampung Tambak Musa Gapor mengharapkan agar bantuan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Walaupun taraf ekonomi masyarakat semakin baik dan banyak rumah yang cantik hari ini, saya tidak menolak masih ada yang memerlukan misalnya di Kampung Tambak… masih banyak rumah yang uzur.

“Bagi penerima yang dipilih, hargailah… anda seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan bantuan PPRMS di Kampung Tambak yang melibatkan 15 rumah kini 95 peratus siap.

Hadir sama Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, Guru Besar SK Tambak Ismail @ Kamarudin Deli, Ketua Kampung Tambak Musa Gapor dan Yang Dipertua PIBG SK Tambak Hurumah Derham.