PUSA: Dua dewan baharu yang dibina tahun ini di Saribas jelas membuktikan projek RTP yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak serius mahu melengkapi kawasan luar bandar dengan infrastruktur yang diperlukan rakyat.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berhasrat agar ia menjadi pusat penyatuan masyarakat dan saluran mengukuhkan perpaduan.
Katanya, untuk dua dewan tersebut Kerajaan Sarawak membelanjakan RM1 juta yang mana setiap satunya bernilai RM500,000.

“Dewan dengan konsep terbuka itu akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Supa dan Buda.

“Saya faham mungkin penantian yang agak lama, namun sebenarnya kerajaan mempunyai perancangan tersendiri dan alhamdulillah menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi.

“Kita seharusnya berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas komitmen memenuhi setiap aspirasi rakyat,” katanya.

PENUHI JEMPUTAN … Razi serta tetamu lain bergambar kenangan bersama pengantin baharu ketika memenuhi jemputan perkahwinan anak Mohiden Hamdan di Kampung Supa.

Beliau bercakap demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek dewan baharu Kampung Supa, baru-baru ini.

Jelasnya, projek RTP banyak membantu menyelesaikan isu dan permasalahan melibatkan infrastruktur asas secara berperingkat di kampung-kampung seluruh Sarawak.

“Banyak yang kita nampak hasil peruntukan RTP. Selain dewan, pusat ekonomi dibina melalui RTP, jalan-jalan lorong, kemudahan sukan, naik taraf bangunan kerajaan… sebab itu RTP dianggap sebagai polisi Kerajaan Sarawak yang berjaya membawa perubahan kepada banyak kawasan di luar bandar.

“Walaupun ia tidak dapat dilaksanakan secara serentak, namun boleh disifatkan sebagai dana yang sangat efisyen ke arah pembangunan luar bandar yang dirancang dari masa ke masa… di sekeliling kita begitu jelas sumbangan daripada program RTP tersebut,” ujarnya.

Razi dalam pada itu menyelar pihak yang mempersoal peruntukan RTP kononnya dimakan oleh wakil rakyat.

“Rakyat harus faham, secara fizikal kita tidak pernah menyentuh duit RM5juta yang disalurkan setiap tahun itu. Jadi, bagaimana ada pihak boleh mengatakan peruntukan tersebut lesap?

“Janganlah diragui usaha Kerajaan Sarawak membangunkan bumi tercinta ini. Apa yang kita utamakan ialah Sarawak seperti mana slogan GPS, Utamakan Sarawak.

“Sebagai wakil rakyat GPS, saya berusaha keras untuk memajukan Saribas secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau terdahulu menghadiri jemputan majlis perkahwinan anak Mohiden Hamdan di Kampung Supa.

TINJAU TAPAK … Razi berbincang sesuatu dengan agensi pelaksana dan wakil penduduk tentang projek pembinaan dewan baharu Kampung Supa.