BINTANGOR: Sikap gemar turun padang yang dipraktikkan oleh wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak hanya pada musim tertentu tetapi sepanjang masa.

Bagi Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab pula, beliau cukup teruja menabur khidmat dan mendampingi anggota masyarakat di samping membantu mereka menangani dan menyelesaikan pelbagai masalah.

Biarpun mencabar namun bagi pemimpin berasal dari Kampung Paloh ini, ia satu pengalaman paling berharga dan menyeronokkan.

“Tidak lama lagi, saya menghadiri Persidangan Parlimen yang dijangka berlangsung selama tiga minggu. Selepas itu, saya dan isteri menunaikan ibadah haji ke tanah suci.

“Walaupun agak sibuk dalam tempoh itu, saya tetap akan memantau kawasan dan ambil peduli masalah rakyat. Itu sudah tugas hakiki. Bagi saya, rakyat tetap di hati,” katanya ketika ditemui wartawan selepas menghadiri majlis Semarak Aidilfitri di Kampung Bintangor, malam tadi.

Terdahulu dalam ucapan, beliau berharap penganjuran program berkenaan diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk.

Ujarnya, Aidilfitri dan Gawai perlu dimanfaatkan bagi menyuburkan rasa kasih sayang, sekali gus membantu memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin.

“Kedua-dua perayaan ini harus diraikan dengan semangat muhibah tanpa mengira perbezaan agama dan keturunan. Kita seharusnya saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menghulurkan angpau raya kepada kanak-kanak selain sumbang Gawai kepada setiap pintu rumah panjang di Parlimen Tanjung Manis.

Majlis bertambah seri dengan kehadiran Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Yusuf menyerikan program semarak Raya di di Kampung Bintangor semalam

 

Beliau turut meraikan sambutan Gawai bersama rakyat di rumah panjang di kawasannya.

 

Yusuf ( berdiri tiga kanan) mengabadikan kenangan bersama penduduk kampung Bintangor.