Isu demam denggi kini mendapat perhatian serius.

Jumlah kes jangkitan demam denggi ternyata meningkat mendadak dari semasa ke semasa.

Terbaru, sebanyak 762 kes demam denggi direkodkan di Sarawak dari Januari hingga 10 Jun tahun ini yang menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu apabila mencatatkan 219 kes.

Manakala, di Bahagian Kuching sahaja mencatat peningkatan kes demam denggi secara mendadak dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Jamilah Hashim berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, Bahagian Kuching dilaporkan mempunyai kes tertinggi iaitu 264 dan diikuti oleh Miri 98 kes, Betong 95, Sibu 73, Serian 46, Kapit 44, Samarahan 40, Sarikei 38, Bintulu 24, Limbang 18, Sri Aman 16 dan Mukah 6.

Statistik ini sangat jelas menunjukkan usaha yang lebih efektif perlu diambil oleh semua pihak secara berterusan dan serius bagi membendung penularan demam denggi ini.

Bendung Penyakit

Jika dilihat, pelbagai jenis program dan aktiviti dilaksanakan bagi membendung penyakit itu seperti pengasapan di kawasan perumahan dan kampung yang berpotensi.

Bukan itu sahaja, hebahan media berkaitan isu demam denggi dan aspek penghapusan tempat pembiakan nyamuk yang bertanggungjawab terhadap penyebaran demam denggi turut disampaikan kepada masyarakat umum.

Namun, usaha ini masih belum mencukupi bagi membendung kes demam denggi apabila berlaku peningkatan kadar jangkitan yang terus direkodkan meningkat bulan demi bulan.

Oleh itu, satu langkah yang lebih agresif dan komprehensif perlu dilakukan bersama-sama oleh semua pihak berkaitan bagi membendung masalah tersebut dari berterusan berlaku.

Misalnya, pihak berkuasa tempatan melalui kerjasama Jabatan Kesihatan perlu memperbanyak usaha menjalankan program kesedaran tentang bahaya wabak demam denggi di kawasan terpencil dan berpotensi dengan lebih kerap.

Di samping itu, lebih banyak program pencegahan dan pendidikan di peringkat akar umbi dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat umum berkaitan punca dan tatacara pencegahan kes demam denggi ini.

Bagi peringkat awal, pendidikan berkaitan aspek kesihatan perlu juga dimulakan supaya pelajar sedar akan tabiat pembiakan dan hidup nyamuk aedes serta bahaya demam denggi.

Bergotong-Royong

Para pelajar harus diajak bersama bergotong-royong membersihkan kawasan di sekitar sekolah, selain diminta memastikan kawasan rumah kediaman mereka turut dibersihkan daripada bebas pembiakan nyamuk aedes.

Semua ini dapat dilakukan melalui sikap kerjasama dan prihatin bersama-sama rakan sekelas mahupun anggota keluarga.

Menerusi langkah tersebut, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya, mereka dapat melihat kepentingan untuk menjaga kebersihan kawasan sekeliling dan boleh mempraktiskan pengetahuan tersebut pada masa depan.

Antara yang dapat dilakukan di peringkat sekolah ialah kempen kesedaran, pameran dan ceramah yang melibatkan pelbagai lapisan usia dan masyarakat seperti Program Bebas Denggi dan Communication for Behavioural Impact (COMBI).

Pendidikan kesihatan ini dapat memberi kesedaran dan ilmu kepada semua golongan masyarakat termasuk golongan belia supaya mereka lebih faham akan tabiat nyamuk Aedes yang membawa penyakit demam denggi sekali gus dapat mengajar cara pencegahan pembiakan nyamuk di sekitar premis kediaman.

Dari segi aspek perundangan, beberapa akta diwujudkan dalam usaha mengawal dan mencegah penyakit demam denggi seperti Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).

Kawalan Untuk Pencegahan

Namun, pihak berkuasa masih boleh mempertimbangkan cadangan untuk menambah baik akta sedia ada bagi pengawalan untuk pencegahan demam denggi secara lebih berkesan kerana ia dilihat belum mampu memberi kesedaran atau gambaran bahawa perkara ini sangat serius.

Tuntasnya, segala usaha yang ingin dilaksanakan harus dilakukan bersama dengan pengelibatan semua pihak dalam usaha pencegahan penyakit berjangkit terbabit yang boleh membawa maut dalam tempoh masa singkat.

Bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’, maka semua langkah proaktif dan agresif dalam pencegahan penularan penyakit berjangkit tersebut perlu diambil dengan segera untuk kesejahteraan dan kebaikan semua pihak di negeri ini.